
Sila masukkan jumlah zakat yang wajib dibayar ke dalam kotak nilai di ruangan borang di bawah.
Zakat Pendapatan
Setiap Muslim yang memenuhi syarat wajib membayar zakat pendapatan setiap tahun atas segala pendapatan yang diperoleh, termasuk gaji dan hasil kerja lain. Kepentingan zakat ini jelas dalam Rukun Islam yang keempat, iaitu kewajiban membayar zakat bagi mereka yang berkemampuan.
Zakat bukan sahaja membawa manfaat kepada individu yang membayarnya tetapi juga kepada masyarakat dan ummah secara keseluruhan. Antara kelebihan membayar zakat termasuk:
- Membantu pembangunan ummah dengan menyalurkan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan, seperti fakir miskin, anak yatim, dan pelajar kurang berkemampuan.
- Mengukuhkan perpaduan ekonomi dalam kalangan umat Islam melalui perbincangan dan strategi pemerkasaan ekonomi bersama.
- Mempererat hubungan antara pemberi dan penerima zakat, walaupun secara tidak langsung, melalui manfaat yang dapat dilihat dalam pembangunan dan bantuan yang diberikan.
- Mengurangkan jurang sosial dan menghindari perasaan iri hati, di samping memberi inspirasi kepada penerima zakat untuk berusaha menjadi pembayar zakat suatu hari nanti.
- Memupuk rasa tanggungjawab dalam diri individu, khususnya ketua keluarga.
- Menyucikan harta daripada sebarang unsur yang meragukan.
- Menjadi salah satu bentuk ibadah sebagai tanda syukur kepada Allah SWT atas rezeki yang dikurniakan.
Fatwa Mengenai Zakat Pendapatan
Terdapat dua jenis zakat pendapatan yang perlu ditunaikan sekiranya cukup syarat nisab zakat:
-
Zakat Gaji
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 pada 7 Mei 2003 telah membincangkan zakat gaji dan kadar bayaran yang perlu dikeluarkan. Hasil muzakarah memutuskan bahawa zakat gaji dikira berdasarkan pendapatan kasar setahun, dengan kadar zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut. -
Zakat Pendapatan Profesional
Bagi individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau bekerja secara bebas seperti perunding, penulis, pengacara majlis, dan pelakon, mereka perlu membayar zakat pendapatan profesional.Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas pada 9 Disember 1992 telah membincangkan perkara ini dan menetapkan bahawa:
- Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji, dan pembayaran zakat ini harus diberikan rebat oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri.
- Zakat wajib dikenakan ke atas pendapatan tahunan seseorang profesional kerana ia termasuk dalam kategori zakat perniagaan.